NOVEL SERAM

Saya memang seorang peminat novel. Saya minat sangat membaca novel seram sejak tingkatan 1. Kebanyakan koleksi novel seram saya datangnya daripada keluaran Buku Prima. Setakat ni, saya dah ada lebih daripada 50 buah novel seram. Setiap kali saya baca novel seram, saya selalu rasa tertanya-tanya tentang misteri yang diceritakan dan teruja untuk mengetahui penamat cerita dalam setiap novel tersebut.

 

Antara tajuk novel yang menjadi kesukaan saya ialah Margasatwa, Lintah dan Dari Alam Lain.

1. Margasatwa
Novel ini mengisahkan tiga orang penuntut sebuah universiti tempatan hilang di Hutan Tasik Kenyir. Mereka dipercayai telah diserang binatang buas. Anehnya, mayat-mayat mereka tidak ditemui. Malah, pihak renjer hutan tidak dapat mengesahkan binatang apa yang menyerang pelajar-pelajar itu. Nasib mangsa serangan masih tidak terjawab. Apakah misteri binatang pemangsa itu?
      Manakala Adi Putra yang kecewa dalam percintaan telah memilih untuk menjadi novelis seram sepenuh masa. Dia nekad ke Tasik Kenyir setelah mendengar akan kehilangan misteri itu dan mahu mengabdikan kisah itu ke dalam novel terbaharunya. Namun, Adi Putra tidak menyedari bahawa maut sedang menantinya di sana!

2. Lintah
Novel ini mengisahkan seorang inspektor yang bernama Ryan diarahkan untuk mengendalikan kes kematian yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah kolej yang dipercayai berpunca daripada santau lintah. Hasil siasatannya menemui jalan buntu. Kematian itu tidak melibatkan motif dendam atau sakit hati. Mangsa utama terdiri daripada sekumpulan pelajar yang saling mengenali.
     Zarin, Sephia, Zila dan Kamelia merupakan antara kumpulan pelajar yang masih hidup. Antara mereka, Ryan mengesyaki seseorang sebagai suspek utama. Siapakah sebenarnya yang melakukan kerja terkutuk itu? Adakah pelakunya dalam kalangan mereka yang berada di dalam kolej itu?

3. Dari Alam Lain
Novel ini mengisahkan Badruz Zaman dan Citra Adra, kacukan manusia-bunian, kembar yang yatim piatu. Pasangan kembar ini ada misi tersendiri. Mereka mahu mencari jalan masuk ke alam bunian demi mencari asal usul dan mengenali ibu ayah mereka. Namun, tiada sesiapa yang tahu cara untuk melangkah masuk ke alam bunian kecuali melalui diari arwah ayah mereka yang mengaitkan laluan ke alam bunian yang dipanggil sebagai relung dengan tempat-tempat seram.
      Bukan semua tempat angker yang ada kaitan dengan relung, tetapi relung pasti ada di tempat-tempat yang selalu dikaitakan dengan penampakan. Maka mengembaralah Badruz Zaman dan Citra Adra ke seluruh Malaysia untuk mencari relung. Dalam masa yang sama, makhluk yang pernah menghuru-harakan dunia ketika Zaman Melaka dahulu menanti masa untuk kembali. Makhluk itu jugalah dalang yang menyebabkan kedua-dua orang tua mereka menemui ajal.









Comments